• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pesilat SUKMA Terengganu Meninggal Dunia

KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Atlet silat Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 20, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Seremban semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Allahyarham disahkan meninggal dunia pagi tadi akibat kemalangan semasa perlawanan dalam pertandingan Kejohanan Pra Sukma.

"Kerajaan Negeri merakamkan rasa dukacita dan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Wan Muhammad Haikal. Allahyarham merupakan atlet fasa akhir Sukma Terengganu dan akan bertanding dalam kategori Putra I (85-90kg) serta merupakan salah seorang atlet sasaran pingat bagi negeri ini.

"Laporan kemalangan ini telah disampaikan oleh pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kepada saya petang kelmarin. Laporan kematian pula dimaklumkan pada pagi ini. Buat masa ini, secara terperinci kronologi kes belum diterima, pihak MSNT akan memperhalusi selepas ini secara menyeluruh," jelasnya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook miliknya, hari ini.

Menurut Hishamuddin,  ini kes pertama yang berlaku dalam aktiviti sukan silat berdasarkan rekod MSNT.

"Ia amat mengejutkan semua keluarga sukan Negeri Terengganu. Bagi perkara ini, urusan membawa pulang jenazah dari Negeri Sembilan, pengurusan jenazah dan kebajikan keluarga akan diuruskan oleh pihak MSNT," katanya.

Berdasarkan kenyataan berita kematian Allahyarham di Sinar Harian, beliau difahamkan berada di Seremban untuk pra Sukma sejak Jumaat lalu. Allahyarham diberitakan rebah selepas terkena tendangan pihak lawan sebelum disahkan meninggal dunia jam 1.20 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

 


Tag: