• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Pesta ‘Maing Ujang’ Tarik Pelancong Musim Tengkujuh

SETIU, 11 Februari – Pesta 'Maing Ujang' merupakan satu inisiatif bagi membawa pengunjung untuk datang ke Setiu pada musim tengkujuh dan bermain pelbagai aktiviti yang disediakan di sini.

Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat berkata, penganjuran tersebut berjaya mempromosikan budaya dan tradisi Terengganu kepada lebih 100 peserta dan pengunjung luar di sini.

Katanya, kesemua peserta itu terdiri dari seluruh negara yang membangunkan lebih 70 buah khemah.

“Pesta Maing Ujang juga diperkenalkan sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung ke daerah Setiu, sekaligus mempopularkan daerah berkenaan sebagai destinasi pelancongan eko yang baharu. 

“Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti mencari lokan dan kepah, ‘monsoon river cruise’, pertandingan menghias khemah, 'flying fox', 'jungle trekking' dan pelbagai lagi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelepasan Pesta ‘Maing Hujang’ Setiu Wetlands Race dan Setiu Adventure Park bertempat di Desa Pancaran Delima, Kampung Mangkuk, Setiu di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris.

Turut hadir, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman.

Pogram tersebut berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Februari di beberapa buah Kampung di daerah Setiu.

Beliau melahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri terutama di bawah portfolio pelancongan kerana sokongan serta peruntukan yang diberikan bagi melaksanakan program berkenaan.

Di samping katanya, membuka peluang kepada pemain-pemain industri yang berniaga makanan, cenderamata serta para pengusaha bot yang rata-rata merupakan penduduk tempatan di daerah Setiu.

“Program ini merupakan kali pertama diadakan hasil daripada turun padang exco pelancongan yang meminta untuk melaksanakan aktiviti bagi menarik pelancong pada musim tengkujuh ini," jelasnya.

Jelasnya lagi, pihaknya bersama exco pelancongan sempat berkunjung ke Rumah Botol Ayahku dan juga bermain beberapa aktiviti berkait komuniti setempat.

Menurutnya, lokasi tersebut sering mencuri tumpuan pengunjung di Desa Pancaran Delima dengan keindahan panorama Pantai Mangkuk.

"Mangkuk di daerah Setiu memang terkenal dengan keunikan lanskap yang memukau. 

"Maka tidak hairanlan Setiu, Merang  dan Penarik merupakan antara model eko tourism yang terkandung dalam National Ecotourism Master Plan 2016-2025," ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: