• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

PIALA MALAYSIA 2018 : Terengganu Sedia Bertempur


Oleh : Syaiful Mustafa

SHAH ALAM, 26 Oktober- Semua pemain skuad Penyu berada dalam prestasi terbaik dan bersedia untuk menempuhi perlawanan kemuncak menentang Perak, di Stadium Shah Alam, Selangor, malam esok.

Pengendali skuad Terengganu Football Club (TFC) 1, Irfan Bakti Abu Salim berkata, barisan pemain turut diterapkan motivasi supaya mengawal permainan secara harmoni dan mampu menyerap tekanan sehingga ke wisel penamat.

"Kita mahu mereka bermain dalam keadaan gembira. Kebanyakan pemain adalah di kalangan pemain baru dan pertama kali ke pentas final Piala Malaysia kecuali seorang sahaja pemain pernah ke final pada 2011,"katanya ketika sidang media di Stadium Shah Alam, hari ini.

Turut bersama, Ketua Pasukan TFC1, Kipre Tchetche.


Beliau sebelum itu bersama pemain menjalani latihan akhir di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong.

Turun memberi sokongan pada latihan petang tadi, Menteri Besar Terengganu yang juga Pesiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mengulas lanjut, Irfan juga mahu kejayaan menewaskan JDT, selaku  pasukan terkuat liga pada separuh akhir dan kedua, tempoh hari memberi pengalaman berguna untuk dibawa bersama pada malam esok sekali gus mampu menjinakkan skuad Seladang.


Beliau yang akan terus mengemudi pasukan utama Terengganu itu pada musim depan juga menasihat anak buahnya supaya mengurangkan kesalahan dan mengambil peluang yang ada sehingga detik terakhir serta sentiasa berwaspada sepanjang perlawanan penting itu.

"Saya mahu pasukan mestilah menganggap bermain seperti suasana Piala Dunia dengan kebanjiran penonton yang pastinya mahu persembahan yang bermutu dan mampu membawa pulang piala yang ditunggu-tunggu rakyat Terengganu selepas 17 tahun,"katanya lagi.

TFC mengalahkan Johor Darul Ta'zim (JDT), dengan agregat 3-2 dalam perlawanan timbal balas peringkat separuh akhir di Stadium Larkin, Johor, Sabtu lalu.

Manakala Perak pula mengesahkan aksi ke pentas final piala berkenaan biarpun jaringan sekadar terikat 2-2 ketika berdepan Sabah pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Likas, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Perak layak ke pentas final dengan agregat 7-2, hasil kemenangan 5-0 di Stadium Perak pada aksi separuh akhir pertama yang lalu.


Tag: