• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

PIALA MALAYSIA 2018 : TFC Kalah Bermaruah

Pasukan Terengganu bergambar bersama pegawai dan pengurusan selepas dinobatkan naib juara Piala Malaysia edisi ke-92, malam tadi. Turut hadir memberi sokongan moral dan mengalungkan pingat buat pasukan, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.
Oleh : Syaiful Mustafa


SHAH ALAM, 28 Oktober - Terengganu FC (TFC) terpaksa akur dinobatkan sebagai naib juara Piala Malaysia 2018 apabila tewas pada perlawanan akhir menentang Perak menerusi jaringan penalti 1-4, selepas terikat ke masa tambahan dengan keputusan seri 3-3, di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Terengganu memulakan rentak bertenaga dan mengawal  perlawanan pada separuh masa pertama dan menghadirkan gol pembukaan yang menceriakan kira-kira 30,000 penyokong hitam putih seawal minit pertama, menerusi ayam tambatan, Kipre Tchetche.


Sekali lagi ketua pasukan TFC itu menghadirkan jaringan kedua untuk menjarakkan kedudukan selepas penjaga gol Perak melakukan kesilapan menendang bola ke arah Kipre yang terus memanfaatkan gawang terbuka pada minit ke-43.

Perlawanan turut berlangsung tegang, pada separuh masa kedua selepas pengadil Suresh Jayaraman melayangkan kad merah buat pemain Perak, Gilmar Da Silva pada minit ke-55 akibat pergaduhan kecil dan disusuli kad merah kedua untuk pemain TFC, Lee Tuck pada minit ke-66, apabila mengasari pemain Perak.


Namun serangan balas pada separuh masa kedua The Gaurus akhirnya berhasil apabila membuka jaringan pertama oleh Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-74 dan gol kedua pula hadir menerusi Brendan Gan pada minit ke-90.

TFC menambahkan jaringan minit ke-94 pada tambahan masa pertama yang dihasilkan Faiz Nasir pada minit ke-94 bagi menjadikan Sang Penyu mendahului seketika dengan mata 3-2.

Pun begitu, Perak terus mengasak untuk menyamakan keputusan di saat akhir perlawanan pada separuh masa tambahan kedua bagi mengikat kedudukan 3-3 pada minit ke-120 hasil jaringan Igor Zonjic menyebabkan kemenangan ditentukan menerusi sepakan penalti.




Tag: