• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Piala Malaysia: 30,000 Tiket Untuk Penyokong Terengganu Mula Dijual Khamis Ini

Hishamuddin Abdul Karim dalam sidang media selepas sesi lawatan dan taklimat Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Hamat.
KUALA NERUS, 23 Oktober - Sebanyak 30,000 keping tiket diperuntukkan kepada penyokong pasukan Terengganu Football Club I (TFC I) untuk aksi perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 27 Oktober ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, jualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di antara pasukan Terengganu dan Perak akan bermula Khamis ini (25 Oktober) dari pukul 10 pagi hingga 2 petang di kaunter Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bagi kemudahan para penyokong tempatan.

“Sebanyak 30,000 tiket diperuntukkan, berharga RM50 bagi dewasa manakala bagi penonton kanak-kanak pula berharga RM10.

"Kaunter tiket tersebut akan terus dibuka mulai pukul 9 pagi keesokannya sekiranya tiket untuk perlawanan akhir itu masih berbaki," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi lawatan dan taklimat Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Hamat di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Kuala Nerus, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, UStaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

Hishamuddin berkata, pasukan TFC I kini dalam keadaan bersiap sedia untuk bertemu pasukan lawan dengan melakukan latihan insentif.

“Kita akan cuba yang terbaik dan berusaha gigih membawa pulang trofi Piala Malaysia 2018," katanya.

TFC I mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan agregat 3-2 pada peringkat separuh akhir.

Tag: