• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

PICC Kembalikan Senyuman Pesakit Kencing Manis

Oleh : Ahmad Fahmi Azizi

KUALA TERENGGANU, 10 September - Bagi mengoptimumkan rawatan pesakit diabetes di peringkat komuniti, JPKK Kampung Kolam Kuala Ibai dengan kerjasama Bahagian Farmasi Pejabat Kesihatan Kuala Terenganu menganjurkan program 'Pharmacy Integrated Community Care' (PICC). 

Pengerusi JPKK Kampung Kolam, Muhammad Hamdi Ali@Abas berkata, program PICC yang berkonsepkan 'Tuisyen Kencing Manis’ yang pertama diadakan di mukim Kuala Ibai.

Katanya, ia menghimpunkan pesakit kencing manis di sekitar kampung dengan empat modul interaktif diberikan kepada pesakit dengan 23 peserta berjaya dikumpulkan pada program kali ini. 

"Satu pencapaian yang amat membanggakan bagi semua yang menjayakan program ini kerana program ini telah berjaya membantu seramai 13 orang peserta dalam penurunan paras gula dalam darah mereka ( HbA1C) dan sekaligus telah mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“PICC ini juga merangkumi aktiviti pengurusan ubat-ubatan, amalan gaya hidup sihat dan pengambilan diet yang seimbang dan bertujuan untuk mewujudkan kumpulan sokongan yang membantu meningkatkan motivasi dalam mengawal diabetes.

“Selain itu, PICC diharapkan dapat membantu pesakit dalam pengurusan diabetes secara holistik termasuk aspek ubat-ubatan, diet, pemakanan dan aktiviti fizikal yang mampu memberikan kesan lebih baik kepada rawatan para pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis perasmian penutup program ‘Pharmacy Integrated Community Care (PICC)’ Daerah Kuala Terengganu di Balai Raya Kampung Kolam, Kuala Ibai, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Dr Fatimah Muda, Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pegawai Kesihatan Keluarga PKDKT, To' Puan Dr Rohayaty Muda dan Pegawai Farmasi PKDKT, Aishah Hamzah.


Tag: