• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PICK Capai 64 Peratus Suntikan Satu Dos Vaksin - Amzad

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Proses vaksinasi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi populasi dewasa yang menerima satu dos vaksin telah mencapai angka 64 peratus di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Dato' Ahmad Amzad Hashim berkata, manakala sebanyak 30 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dos kedua.

"Saya dapati, perjalanan program vaksinasi ini juga berlangsung lebih laju daripada jangkaan yang ditetapkan sebelum ini. Namun, kita masih lagi mengekalkan sasaran mencukupkan 80 peratus populasi dewasa untuk dua dos lengkap, sebelum Oktober ini.

"Bagi operasi lonjakan kapasiti Lembah Klang yang menjadi keutamaan kita ketika ini, kita telah dapat hampir 100 peratus suntikan satu dos untuk populasi dewasa.

"Apa yang kita buat sekarang ialah apabila Lembah Klang mencapai tahap yang memuaskan, seperti yang diumumkan Menteri, Khairy Jamaluddin semalam, kita akan buka secara 'walk in' di negeri-negeri lain pula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pembaikian paip air dasar sungai oleh Syarikat Air Terengganu (SATU) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir. Azrul Raimee Ramli.

Jelasnya, ada beberapa perkara yang sedang dalam proses akhir untuk diumumkan kementerian tidak lama lagi.

"Pertama, tentang keperluan 'booster' dos bagi vaksin. Sekarang, kita menumpukan sekurang-kurangnya semua mendapat satu dos vasksinasi bagi melindungi diri dan kedua, dua dos kemudiannya.

"Terdapat kemungkinan kita akan mempertimbangkan dos ketiga kerana langkah ini didapati dapat membantu kita berdepan varian Delta yang ganas ini. Keputusan ini juga turut berhubung dengan 'heterogeneous gem', maksudnya sebelum ini jika kita terima Sinovac, kemungkinan kita akan menerima Pfizer atau vaksin lain untuk dos ketiga," katanya.

Menurut Ahmad Amzad, pihaknya juga sedang menunggu dapatan klinikal yang lebih jelas berhubung suntikan vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

"Walaubagaimanapun bagi mereka yang ada keperluan, seperti pelajar 17 tahun yang dapat menyambung pelajaran ke luar negara, mereka boleh memohon suntikan vaksin dengan kebenaran ibu bapa dan ia akan dipertimbangkan," katanya.

 


Tag: