• 28 Jul 2021 | 18 Zulhijah 1442

Pincang Agama Beri Kesan Pada Negara

KEMAMAN, 7 April - Aspek pembangunan modal insan menjadi perhatian kerajaan dengan diberi perhatian khusus dari sudut pendidikan agama, kerana kepincangan dari sudut berkenaan akan membawa kepada kehidupan masyarakat yang tidak berkualiti dan akan menjejaskan masa hadapan negara.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, untuk tujuan itu kerajaan sedang giat menjalankan usaha termasuk memfokuskan dunia pendidikan.

"Pihak kerajaan akan cuba sedaya mungkin memperkasakan institusi pendidikan pondok, akademi dan sekolah-sekolah agama seperti Akademi Al-Qur'an Amalillah (AKMAL) di negeri ini yang sudah dibuktikan bahawa ianya berjaya dari sudut pengurusan dan melahirkan para hafiz dan hafizah.

"Insya-Allah akan mempermudahkan lagi sebarang bentuk bantuan daripada pihak kerajaan agar terus berperanan dan berjasa bukan hanya pada pelajar yang sedia ada bahkan generasi akan datang," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Haflah Takrimi AKMAL Graduasi Kali Ke-2, di Dewan Canselor kolej Universiti TATI di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, sepanjang mengamati pelajar-pelajar di akademi berkenaan didapati mereka memiliki kecemerlangan luar biasa dari sudut hafalan al-Qur'an.

"Mereka berperanan seumpama eksikplopedia al-Quran yang bergerak. Anak-anak yang menghafal al-Quran ini melalui suatu usaha yang sukar, ingatan mereka luar biasa.

"Ini merupakan ruang dan peluang yang Allah izinkan kepada mereka untuk menikmati mukjizat agung ini, jaminan yang sangat besar kepada ibu bapa yang memiliki hafiz dan hafizah ini.

"Di mana akan mendapat manfaat yang sangat besar dan semoga beroleh syurga Allah SWT," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, mendidik generasi serta masyarakat pada hari ini mengenai kesedaran agama merupakan tanggungjawab semua pihak.

"Mudah-mudahan kita semua diberkati Allah dan diberikan dorongan serta dicetuskan hati kita untuk terus memberikan kerjasama dalam menjayakan usaha membimbing generasi pada masa kini dan akan datang supaya terlahirnya keturunan yang baik dan soleh," ujarnya.


Tag: