DUNGUN, 1 November – Al-Quran bukan sekadar kitab suci untuk dibaca dan dikhatamkan, bahkan merupakan petunjuk kehidupan yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan kepada seluruh umat manusia.
Demikian antara intipati yang disampaikan oleh Dato' Wan Hassan Mohd Ramli, Ahli Parlimen Dungun, ketika merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Kali Ke-3, Dungun Cinta Al-Quran yang berlangsung di Masjid As-Salikin, Sungai Udang, Dungun.
Program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu berjaya menghimpunkan seramai 410 orang peserta yang terdiri daripada golongan muslimat, sekali gus memperlihatkan sambutan dan komitmen masyarakat dalam menyemarakkan budaya membaca serta menghayati Al-Quran.
Dalam ucapannya, Wan Hassan menegaskan bahawa Al-Quran mengandungi panduan yang menyeluruh merangkumi aspek akidah, ibadah, akhlak, kekeluargaan, kemasyarakatan serta seluruh kehidupan seorang Muslim.
Beliau turut menyifatkan penyertaan seramai 410 orang muslimat dalam majlis berkenaan sebagai satu pencapaian yang membanggakan, selain mencerminkan kesungguhan kaum wanita untuk terus mendalami, membaca dan menghayati kalam Allah SWT.
Menurut beliau, golongan muslimat mempunyai peranan yang amat penting dalam membentuk keluarga yang beriman, mendidik anak-anak dengan nilai-nilai Islam serta membina masyarakat yang berakhlak mulia.
Sehubungan itu, Wan Hassan berharap agar program Dungun Cinta Al-Quran dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang supaya lebih ramai masyarakat celik Al-Quran serta menjadikan kitab suci tersebut sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Beliau berharap agar segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan mendapat ganjaran serta diterima sebagai amal jariah di sisi Allah SWT.
Mengakhiri ucapan, beliau menyeru seluruh masyarakat agar terus mendampingi Al-Quran sepanjang hayat dengan menjadikan ia sebagai panduan dalam membina kehidupan yang diredai Allah SWT.