• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Pindah Segera Jika Diarahkan - Fazil Wahab


Oleh: Hailmey Mansor

KUALA NERUS, 18 Disember - Semua penduduk yang terlibat di dalam situasi banjir diingatkan agar mematuhi arahan untuk berpindah jika dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Haji Mohd Fazil Wahab juga mengharapkan agar ibu-bapa penjaga mengawasi anak-anak mereka ketika musim banjir.

“Saya harapkan penduduk yang terlibat agar mendengar arahan berwajib sekiranya apa keadaan yang berlaku. Lebih-lebih lagi ibu bapa tolong tengok anak-anak takut mereka bermain di kawasan yang tidak sepatutnya," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal semalam.

Dalam tumpuan sama, Haji Fazil yang juga Ketua Pemuda PAS DUN Seberang Takir memberitahu, para penduduk perlu sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia dengan apa jua situasi yang berlaku dan mendengar apa jua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib.

Seramai 31 keluarga yang membabitkan 131 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan tersebut semalam. Penduduk yang terbabit dengan pemindahan ini terdiri daripada Kampung Pak Tijah atau Kubang Badak dan Taman Uda ekoran hujan yang tidak berhenti sejak pagi semalam. Bagaimanapun keadaan beransur baik hari ini dengan kesemua pusat pemindahan di Kuala Nerus telah ditutup.

Tag: