• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Pintu Rumah Negeri Kami Sentiasa Terbuka' - Dr Sam

KUALA NERUS, 12 Mei - "Pintu rumah negeri kami sentiasa terbuka dalam memastikan hubungan yang baik berlangsung antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan demi Kesejahteraan Rakyat," ujar Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ujarnya, selama ini apa yang diiltizamkan olehnya adalah memastikan hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bertambah baik.

"Pintu rumah terbuka ini juga adalah gambaran keyakinan kami, bahawa hubunagn antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seharusnya sentiasa positif dan bertambah baik seperti peribahasa Melayu ; tidak ada kusut yang tidak selesai, tidak ada keruh yang tidak jernih.

"Di masa yang sama, terbukanya rumah besar ini bukan bermakna rumah kami tidak bertuan, apabila sahaja rumah ini dikunjungi dan tetamu berada di depan pintu, maka berikanlah salam, insya-Allah salam akan disambut," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, baru-baru ini.

Tambah Ahmad Samsuri, berbeza pandangan dan politik adalah lumrah namun matlamat sama di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu diutamakan agar rakyat tidak menjadi mangsa.

Namun, katanya perbezaan yang ada juga mesti mengikut garis panduan, kaedah dan adabnya.

"Sasaran, yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan, contohnya untuk menokhtahkan kemiskinan tegar di Malaysia termasuklah di Terengganu, merupakan antara satu hala tuju yang sama digariskan oleh pentadbiran kerajaan negeri.

"Begitu juga persamaan dalam usaha membawa pelabur, meningkatkan kecekapan tatakelola, pentadbiran yang berintegriti, meningkatkan kualiti hidup rakyat dan sebagainya.

"Seharusnya dalam keadaan sebegini, masa dan tumpuan kita dicurahkan pada membincangkan dan melunaskan persamaan ini daripada melebarkan perbezaan yang ada antara negeri dan Persekutuan, apatah lagi perbezaan tersebut adalah perbezaan partisan," katanya.

Justeru beliau yakin jika negara serta negeri ditadbir secara telus maka rakyat akan dapat lebih banyak manfaat.

"Saya yakin, jika kita tulus dan murni hati demi masa depan dan kesejahteraan rakyat secara bersama maka lebih banyak perkara yang dapat kita capai dalam kerangka semangat federalisme," ujarnya.