• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

PITIH Akan Jadikan Terengganu Hab Pelaburan Hijau

KUALA TERENGGANU, 25 April- Kerajaan negeri merangka Pelan Induk Teknologi Hijau (PITIH) Negeri Terengganu 2024-2030 yang akan menjadikan Terengganu sebagai hab pelaburan hijau.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pelan tersebut dirangka bagi mencapai kelestarian alam sekitar Terengganu melalui kecekapan tenaga dan pengurusan air. 

"Selain itu, PITIH juga dapat menjana pendapatan berskala industri kepada rakyat dan negeri menggunakan sumber hijau dan akan eksplorasi sumber hijau baharu Negeri Terengganu.

"Industri tenaga Terengganu juga akan memfokuskan kecekapan tenaga dan pengurusan air, penjanaan hidrogen hijau, pengkormesialan tenaga boleh baharu (TBB), pengurusan & pengkormesialan sisa hijau dan pengurusan karbon (karbon biru)," ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pelaburan hijau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Katanya, Pelan Induk Teknologi Hijau (PITIH) Negeri Terengganu 2024-2030 akan dilancarkan bersama Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu pada Mei 2024 akan datang.

"Terdapat enam fokus utama dalam PITIH iaitu tenaga, perindustrian, pengangkutan, bangunan, sisa buangan dan air, " ujarnya.