• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PKM ADUN Batu Buruk Hantar Bantuan Kepada Mangsa Banjir Telemong

KUALA TERENGGANU, 20 Disember – Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (PKM ADUN) Batu Buruk dengan kerjasama PKM DUN Telemong telah menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di sana, semalam. 

Rombongan yang diketuai oleh ADUN Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi telah menghantar kira-kira 250 pek makanan dan 300 pek barang mentah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Jenderis dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jenderis. 

Selain itu, rombongan misi bantuan tersebut juga menghantar sebahagian bekalan makanan di Politeknik Hulu Terengganu untuk dimanfaatkan oleh warga politeknik tersebut. 

bantuan bekalan makanan untuk Politeknik Hulu Terengganu

“Suasana banjir yang berlaku di sini agak luar biasa dan Hulu Terengganu antara daerah yang sangat terkesan pada ketika ini selain Besut dan Kemaman.

“Kita diperingkat Kerajaan Negeri Terengganu dan juga Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan terus menyantuni rakyat yang ditimpa musibah ini untuk membantu mereka,” kata Dr. Muhammad Khalil ketika ditemui pemberita.

Beliau turut menasihatkan agar semua menjaga keselamatan sepanjang tempoh musim tengkujuh ini. 

Bantuan bekalan makanan untuk dihantar ke PPS SK Jenderis dan PPS SMK Jenderis

“Bagi yang berpindah ke PPS, matikan suis elektrik utama sebelum meninggalkan rumah dan elakkan bermain air banjir kerana kita bimbang ia akan menjejaskan kesihatan,” katanya lagi. 

Terkini, seramai 2,133 keluarga telah ditempatkan di 58 buah PPS dalam Daerah Hulu Terengganu.