• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PKM, Food Bank YaPEIM Bantu Golongan Terkesan PKP 2.0

KUALA NERUS, 1 Februari - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Terengganu memperuntukan  RM4200 bagi menjayakan program Food Bank di Kampung Pak Tijah, Seberang Takir.

Pengurus YaPEIM Terengganu, Kartina Ahmad berkata misi itu bertujuan meringankan bebanan kepada kumpulan sasar di seluruh negara khususnya di Terengganu akibat Perintah Kawalan Pergerakan( PKP 2.0)termasuk petugas barisan hadapan menangani COVID-19.

Katanya, pihak YaPEIM telah memperuntukan  bajet RM10.7 juta pada 2020 bagi merealisasikan Program Food Bank yang terdiri daripada tiga perkara iaitu 'Ready to Eat', 'Dry Food' dan Daging Segar

“Seramai 42 orang penerima yang dikenalpasti terjejas untuk  program kali ini dengan nilai dianggarkan RM100 dalam bentuk barangan keperluan asas”, katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, beliau bersedia bekerjasama dengan mana-mana agensi dalam membantu masyarakat.

Tambahnya, tindakan susulan selepas ini akan dibuat oleh PKM bagi memastikan golongan yang terkesan sentiasa mendapat perhatian di masa akan datang.

Dalam masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pak Tijah, Zainal Lasim menghargai inisiatif pihak YaPEIM atas usaha yang telah dilakukan.

“Pada hari ini pihak JPKK telah menerima sumbangan berupa barangan makanan yang akan diagihkan kepada golongan yang terjejas dan terkesan akibat PKP kali ini," ujarnya.

Bagi salah seorang peniaga yang ditemui, Saudah Harun, berkata dia cukup teruja dan berterima kasih kepada YaPEIM dan JPKK Kg. Pak Tijah kerana menyenaraikannya sebagai salah seorang penerima memandangkan suaminya yang berniaga kecil-kecilan turut  terkesan dengan keadaan terkini.