• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

PKM Manir Agih RM15,000 Sumbangan Persiapan Buka Sekolah

Oleh: Ahmad Mawardi

KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Manir mengagihkan sumbangan kewangan berjumlah kira-kira RM15,000 kepada 29 buah badan pendidikan bagi persiapan pembukaan sekolah.

ADUN Manir, Hilmi Harun berkata, sumbangan tersebut bagi membantu persiapan semua pihak termasuk sekolah, pelajar dan ibu bapa untuk pembukaan semula sekolah secara berperingkat setelah hampir empat bulan terhenti akibat COVID-19.

Beliau berharap agar pihak sekolah tegas dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Cuma suasana yang akan dilalui adalah berbeza sebab selama ini sekolah ditutup dan akan dibuka semula. Mereka hanya perlu masa untuk membiasakan diri dengan norma baharu ini, sama seperti sektor-sektor lain," jelasnya ketika dihubungi pemberita, baru-baru ini.

Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Manir, Mohd Harun Esa mewakili beliau menyampaikan sumbangan kepada semua sekolah.

Pihaknya mengharapkan komitmen daripada guru, pelajar dan ibu bapa bagi memastikan COVID-19 tidak menular di sekolah dan bersama mendoakan agar Malaysia khususnya dapat bebas daripada wabak itu.

Badan pendidikan tersebut terdiri daripada sebuah kolej, sebuah sekolah menengah, tujuh buah sekolah rendah, 20 buah prasekolah termasuk Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Tadika Permata.