• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PKM Manir Sediakan Pengangkutan Bawa Warga Emas Ke PPV

HULU TERENGGANU, 24 Jun - Prihatin dengan nasib warga emas yang mempunyai kekangan untuk hadir ke temujanji vaksinasi, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir mengambil inisiatif menawarkan khidmat pengangkutan percuma ke Pusat Perkhidmatan Vaksinasi (PPV).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, perkhidmatan aktiviti kebajikan itu dimulakan sejak tiga minggu lalu sebaik sahaja kempen jom vaksin di perluaskan diseluruh negara dan juga apabila sejumlah besar rakyat tidak hadir untuk temujanji vaksinasi kerana masalah pengangkutan.

Katanya, dia menyedari majoriti warga emas khususnya di kawasan pedalaman tidak mempunyai kenderaan selain anak-anak yang berada jauh di luar kewasan menyebabkan mereka terlepas menghadiri janji temu vaksinasi.

"Pada awalnya, idea ini hanya untuk membantu golongan warga emas dan OKU untuk warga DUN sahaja, sebelum diperluaskan ke semua yang mempunyai masalah pengangkutan.

"Khidmat percuma ini juga termasuk menjemput bekas pesakit covid-19 yang selesai menjalani rawatan di mana-mana pusat kuarantin yang mempunyai masalah kenderaan.

“Petugas PKM akan dihubungi penerima vaksin sehari atau dua hari sebelum janji temu, untuk tempahan perlukan kenderaan,"katanya ketika dihubungi pihak media Urusetia Penerangan Darul Iman UPDI.

Menurutnya lagi, sudah hampir 50 orang warga DUN telah menggunakan khidmat PKM yang menyediakan dua kenderaan iaitu sebuah MPV dan sebuah van, bagi memudahkan penerima yang menghadapi masalah pengangkutan.