• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

PKM Sura Tumpu Tingkatkan Prestasi JPKK

DUNGUN, 28 Januari - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura mengatur langkah meningkatkan komunikasi JPKK dalam usaha memberi tumpuan kepada prestasi kerja Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Justeru, sebuah program diadakan baru-baru ini, melibatkan sekitar 50 ahli JPKK DUN Sura sebagai langkah awal membina kerjasama dan kesatuan di kalangan mereka bagi mengukuhkan gerak kerja yang akan dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, pihaknya cuba mewujudkan medium komunikasi berkesan bersama rakyat supaya segala maklumat dan arahan dapat diberikan dengan jelas dan sampai kepada rakyat.

"Komunikasi yang efektif dapat membantu dalam menyampaikan arahan dan matlamat dengan lebih jelas. Ia dapat memudahkan pihak kami dalam menyampaikan maklumat daripada Kerajaan Negeri Terengganu.

"Kami turut memberikan penekanan kepada peningkatan kebolehan berkomunikasi secara efektif, yang dianggap sebagai asas penting dalam memastikan perkhidmatan dan interaksi yang lebih baik kepada rakyat," katanya.

Dr Tengku Fakhruddin turut memaklumkan, program berkenaan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti pembinaan prestasi, termasuk sesi latihan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, kerjasama berpasukan, dan pembangunan diri.

 

 


Tag: