• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PKP Besut : Semua Pihak Digesa Patuhi SOP

BESUT, 8 Mei – Semua pihak digesa untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar penularan COVID-19 di daerah ini dapat dibendung dengan segera.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pengisytiharan PKP di seluruh Besut kecuali di Mukim Hulu Besut menggambarkan situasi yang agak cemas.

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut itu, peningkatan ketara kes positif pandemik berkenaan adalah sesuatu yang merisaukan rakyat.

“PAS Kawasan Besut sangat berharap agar rakyat di parlimen Besut mengikuti dan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.

“Pematuhan terhadap SOP harus dijaga oleh semua pihak. Kawalan pergerakan dan penjarakan sosial sangat mustahak di samping penggunaan ‘hand sanitizer’ dan pelitup muka,” katanya kepada UPDI hari ini.

Menurutnya, jika penetapan angka oleh pihak KKM tidak berubah dan meningkat maka Besut akan kekal dengan zon merah.

“Bagi zon merah (41 kes dan ke atas), Zon Jingga (20-40 kes), Zon Kuning (1-19 kes) dan Zon Hijau (0 kes), maka di hari pertama PKP di Besut kita berada di zon merah dengan 47 kes baharu di samping kes aktif (229), jumlah sembuh (948), jumlah kematian (8) dan kumulatif kes (1,185).

“Saya menyeru semua pihak mengambil berat soal pematuhan SOP. Kita bimbang peningkatan kes ini semakin memuncak. 

“Tidak mustahil jika keadaan semakin serius beberapa kemudahan akan ditarik balik termasuk keizinan untuk solat Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.


Tag: