• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PMINT Lancar Skuad, Tabung Prihatin Persiapan Banjir

KUALA TERENGGANU, 15 November - Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) melancarkan Skuad PMINT Prihatin, bagi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam membantu masyarakat setempat melibatkan aktiviti kemasyarakatan serta bantuan ketika bencana di seluruh negeri Terengganu terutamanya pada musim banjir ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Adnan Wan Derahman berkata, selaras penubuhan itu turut dilancarkan Tabung PMINT Prihatin bagi mengumpulkan sumbangan dalam bentuk tunai dan barangan keperluan untuk diagihkan kepada golongan terkesan.

"Setakat ini, kita menjangkakan skuad ini akan dianggotai kira-kira 120 sukarelawan terdiri daripada kakitangan sembilan anak syarikat iaitu PMINT Urus, Permint Granite, Cas Ligas, Taman Tamadun Islam (TTI) Management, PMINT Minerals P-Excell, Terengganu Agrotech Development Corp (TADC) dan Pertima Terengganu.

"Bagi melaksanakan aktiviti dan misi-misi kebajikan ini, kita juga merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan badan yang bertanggungjawab untuk membina kemahiran dalam kaedah menyelamat bagi sukarelawan terlibat.

"Bagi Tabung PMINT Prihatin, kita mula membuka sumbangan dalam bentuk tunai, barangan keperluan merangkumi makanan dan pakaian untuk diagihkan kepada golongan terkesan dengan bencana di seluruh Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Skuad PMINT Prihatin dan Tabung PMINT Prihatin di Paya Bunga Square, Ahad lalu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PMINT, Azmal Azaddin dan Pengurus Besar Khidmat Sokongan PMINT, Zawiyah Zakaria.

Tambahnya, Kumpulan PMINT menyerahkan dana bernilai RM20,000 sebagai permulaan sumbangan tabung berkenaan.

"Kita sasarkan Tabung PMINT Prihatin mampu mengumpulkan sekitar RM50,000 buat fasa pertama (akhir tahun) ini dan kita mengalu-alukan sumbangan barangan keperluan, makanan dalam tin terutamanya,pakaian serta kita akan selaraskan agihan tersebut supaya sampai tepat kepada golongan sasaran," katanya.

 

 


Tag: