• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Polis Terengganu Tingkatkan Tahap Keselamatan Balai

KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Polis Kontinjen Terengganu telah meningkatkan tahap keselamatan di semua balai dan pondok polis di negeri ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Mohd Khairi Khairuddin berkata, langkah itu diambil ekoran kejadian serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram yang telah mengakibatkan berlaku kematian dan kecederaan pegawai polis.

"Kesemua tujuh buah ibu pejabat polis daerah, 38 balai polis dan 32 pondok polis di negeri ini sentiasa siap siaga.

"Dalam memastikan keselamatan premis-premis polis serta premis berkepentingan utama di negeri ini berada di dalam tahap (keselamatan) yang tinggi," ujarnya melalui satu kenyataan rasmi, di sini, kelmarin. 

Dalam pada itu katanya, rakyat di negeri ini tidak perlu khuatir dan panik kerana pihak Polis Diraja Malaysia akan memastikan orang ramai  sentiasa berada dalam keadaan selamat.

"Kerana PDRM akan sentiasa melakukan pemantauan dan risikan dalam memastikan keselamatan (di) negeri ini (berada) di tahap yang terkawal," katanya.