• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Polis Terengganu Tumpu 34 Lokasi  'Hotspot' Kemalangan Dalam Op Selamat

HULU TERENGGANU, 9 April - Polis mengenal pasti 34 kawasan 'hotspot'  berlakunya kemalangan di Terengganu terutama ketika musim perayaan ini.

Ketua Polisnya, Datuk Mazli Mazlan berkata ia membabitkan 30 jalan persekutuan dan empat jalan negeri termasuk Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

"Kita telah kenal pasti kawasan hotspot (kawasan kerap berlaku kemalangan) dan kawasan blackspot (kawasan berlaku kemalangan maut) di negeri ini.

"Kita akan tempatkan anggota polis trafik di kawasan titik panas berkenaan yang dijangkakan berlaku peningkatan kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita  selepas hadir pada Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri peringkat negeri di Plaza Tol Ajil, LPT2, di sini hari ini.

Tambah Mazli, seramai 41 pegawai dan 454 anggota polis Kontinjen
Terengganu digerakkan untuk
menjayakan Op Selamat 22 sempena Aidilfitri bermula hari ini sehingga 13 April ini.

"Pasukan itu akan menumpukan kepada pencegahan jenayah pecah rumah, mengurangkan kadar
kemalangan dan memastikan kelancaran trafik," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman supaya
memaklumkan kepada polis agar pemantauan boleh dilakukan di kawasan kediaman mereka.


 


Tag: