• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Politeknik Dungun Cipta Kereta Elektrik

DUNGUN, 28 Januari 2024 – Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) berjaya mereka cipta sebuah kenderaan eletrik (EV) berkonsepkan ‘green mobility’ bagi kegunaan dalaman.

Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata, projek berkenaan adalah hasil rekaan empat orang pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) di bawah seliaan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Hasanul Isyraf Mat Junoh. 
 
"Ia telah berjaya menggondol Anugerah Industrial Revolution (IR4.0) dalam pertandingan Student’s Project Competition on Innovation & Invention 
Design (SPEED)," katanya dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada UPDI kelmarin.

Menurutnya lagi, kenderaan itu  menggunakan bateri 48V dan digerakkan menggunakan 1000W 'brushless direct current' (BLDC) motor.

"Ia mampu mengecas semula bateri dan boleh mencapai kelajuan sehingga 30km/j. 

"Kenderaan yang direkabentuk 'buggy' ini telah menjadi kegunaan dalam kawasan 
PSMZA dan menjadi politeknik pertama yang berjaya merekacipta 
kenderaan eletrik," ujarnya. 

Katanya lagi, seiring dengan hasrat kerajaan bagi menggalakkan penggunaan EV dalam pelbagai sektor, PSMZA juga mengambil inisiatif memperkenal dan mempromosi Mini EV-Car di Wacana Pengukuhan Organisasi Politeknik dan Kolej Komuniti(POLYCC) yang 
telah diadakan di Politeknik Besut Terengganu. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr Mohd Zahari Ismail yang  sempat memandu uji Mini EV-Car tersebut turut melahirkan rasa bangga di atas kejayaan tersebut. 

"Ini membuktikan pelajar lulusan Technical and Vocational Education and Training (TVET) mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal dengan sangat baik," pujinya. 

Sehubungan itu, Pengarah PSMZA, Zamra Derahman, turut berpuas hati dengan 
pencapaian tersebut dan menekankan peranan penting TVET sebagai asas 
dalam membentuk tenaga kerja mahir dan mendorong kepada pertumbuhan 
ekonomi. 

"PSMZA turut berhasrat untuk mengadakan lebih banyak kolaborasi bersama industri berkaitan bagi memberi nilai tambah yang lebih baik 
kepada para graduan PSMZA khususnya," ujarnya lagi.


Tag: