• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Pondok Rela Jadi Balai Polis Mini Felda Jerangau



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 7 Januari- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselmatan Rancangan (JKKR) Felda Jerangau, bersama pasukan polis beriltizam untuk meningkatkan keselamatan bagi menangani jenayah yang kian meruncing.

Pengerusi MPKK Jerangau Cawangan Dua Anuar Omar berkata, Pondok Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang berada di jalan masuk utama Felda Jerangau, Bukit Besi, di sini, akan dibaik pulih dan diperkasakan peranannya untuk tujuan tersebut.

"Pondok Rela ini akan dijadikan sebagai balai polis mini dengan mengetatkan keselamatan dan membuka kaunter aduan yang bertujuan bagi memudahkan untuk penduduk membuat sebarang aduan jenayah yang berlaku dan berlegar di dalam kampung supaya diambil tindakan yang cepat.

"Selama ini, di mana tiada kawalan keselamatan yang ketat, jenayah dilihat berlaku secara berleluasa," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau pondok berkenaan, di Felda Jerangau, hari ini. Turut hadir, Pengerusi JKKKR Felda Jerangau, Abdul Razet Noordin.
    Anuar berkata, selain balai polis mini berkenaan, anggota keselamatan juga akan mengadakan kawalan rapi terhadap kenderaan yang keluar masuk terutama pada waktu malam dan dalam keadaan mencurigakan.

    Sehubungan itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, langkah yang diambil itu adalah wajar dan bertepatan dengan keadaan semasa bagi memastikan kadar jenayah dapat dibanteras menerusi kawalan keselamatan yang ketat.

    "Dengan ketiadaan kawalan yang ketat mereka merasa lepas bebas untuk berbuat apa sahaja, segala bentuk jenayah.

    "Malah indeks jenayah  yang tinggi banyak berpunca akibat penyalahgunaan dadah. Jadi usaha ini diharap memberi wajah dan imej yang positif  kepada komuniti dan kawasan setempat ini," katanya.



    Beliau mengharapkan agar langkah yang diambil itu akan menjernihkan kembali imej Felda Jerangau serta memastikan komuniti berada dalam keadaan aman, harmoni dan sejahtera.

    "Ini secara tidak langsung akan menaikkan imej MPKK sebagai entiti yang cakna pada komuniti setempat. Seterusnya hasrat menjadikan DUN Bukit Besi Sejahtera, akan dapat digapai,"katanya.




    Tag: