lightning-solid
Berita :
Prestasi TDM Melonjak, Catat Untung RM15.3 juta Suku Kedua 2026
Prestasi TDM Melonjak, Catat Untung RM15.3 juta Suku Kedua 2026
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
54

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – Prestasi kewangan TDM Berhad terus menunjukkan perkembangan positif apabila mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) RM15.3 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (Q2 FY2026), berbanding tempoh sama tahun lalu.

Hasil kumpulan turut meningkat 18 peratus kepada RM205.3 juta berbanding RM174 juta pada suku kedua tahun lalu, disokong prestasi lebih kukuh sektor perladangan dan penjagaan kesihatan.

Bagi enam bulan pertama 2026, hasil TDM meningkat 25 peratus kepada RM379.9 juta daripada RM304.2 juta, manakala PBT mencecah RM6.4 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata prestasi itu mencerminkan peningkatan jelas dalam trajektori pendapatan kumpulan.

Menurutnya, sektor perladangan mendapat manfaat daripada peningkatan pengeluaran, jumlah jualan lebih tinggi serta pelaksanaan operasi yang lebih berdisiplin, manakala sektor penjagaan kesihatan terus berkembang menerusi peningkatan jumlah pesakit dan hasil bagi setiap pesakit dalam.

"Sektor perladangan merekodkan hasil RM105 juta bagi suku kedua 2026, meningkat 18 peratus berbanding RM88.7 juta tahun sebelumnya.

"PBT sektor itu meningkat kepada RM8.7 juta daripada RM700,000, manakala EBITDA melonjak 53 peratus kepada RM24.5 juta.

"Sektor penjagaan kesihatan pula mencatat hasil RM100.3 juta, naik 18 peratus tahun ke tahun. PBT sektor berkenaan meningkat 178 peratus kepada RM14.3 juta, manakala EBITDA meningkat 89 peratus kepada RM19.5 juta, disokong pertumbuhan jumlah pesakit dalam dan pesakit luar," ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, TDM terus memperluaskan sektor penjagaan kesihatannya menerusi pembinaan KMI Bertam Medical Centre yang berjalan mengikut jadual, manakala KMI Chukai Medical Centre sedang menuju ke fasa pembinaan.

Kumpulan itu turut meneroka pembangunan hospital baharu di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu serta cadangan kerjasama dengan UiTM Private Specialist Centre di Sungai Buloh.

TDM berkata kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan operasi dan pengurusan kos bagi mengekalkan momentum pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini.


Tag :

Artikel Berkaitan