• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Primula ‘Fishing Challenge 1.0’ Tawar Hadiah Lumayan

KUALA TERENGGANU, 21 Mac – Primula Beach Hotel menawarkan hadiah lumayan kepada para pemenang yang menyertai Primula ‘Fishing Challenge 1.0’ pada 26 Mac ini bermula jam 7.00 pagi hingga 1.00 petang  bertempat di pesisir Pantai Batu Burok. 

Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata program tersebut merupakan acara terbesar dalam sukan memancing yang pernah diadakan di Primula Beach Hotel mensasarkan penyertaan 700 peserta dari pelbagai kelab memancing di dalam dan di luar negeri Terengganu.

“Tempat pertama  bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000, kedua (RM3,000), tempat ketiga (RM2,000), tempat keempat (RM1,000), tempat kelima (RM400) dan tempat keenam hingga 60 peserta bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM200.

 “Kami juga menyediakan hadiah-hadiah cabutan bertuah berbentuk barangan elektronik, baucer penginapan, makanan dan  hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal berjenama SYM.”ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pelaksanaan program ini  bertujuan untuk menarik pengunjung untuk datang melancong di Terengganu di samping menarik lebih ramai pengunjung ke Pantai Batu Burok, selari dengan hasrat kerajaan untuk mempromosikan sektor pelancongan negeri melalui aktiviti sukan. 

Suaibah juga berkata pihaknya menggunakan kelebihan kedudukan hotel yang bertempat berhampiran dengan pantai  dan berharap agar program ini mendapat sambutan positif dan dapat diteruskan pada masa akan datang dalam kalendar pelancongan negeri.