• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Primula Fishing Challenge 2.0 Tawar RM20 Ribu Untuk Kaki Pancing

KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Primula Fishing Challenge 2.0 (PFC 2.0 ) kembali beraksi dengan lebih gah buat kaki pancing dalam berentap merebut gelaran juara bagi membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000. 

Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata pihaknya mensasarkan penyertaan seramai 500 peserta dari pelbagai kelab memancing di dalam dan di luar negeri Terengganu membolehkan para kaki pancing mempamerkan bakat dan kebolehan mereka.

“Cabaran memancing itu turut menawarkan hadiah wang tunai RM4,000 kepada naib juara, ketiga (RM2,000), keempat (RM1,000), ke 5 hingga 10 (RM300) dan ke 11 hingga 80 (RM200 setiap seorang). 

“Primula Beach Hotel turut menyediakan 51 hadiah cabutan bertuah antaranya sebuah motosikal, TV android, barangan elektrik dan baucer penginapan tajaan hotel-hotel sekitar Negeri Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, penganjuran PFC 2.0 adalah selaras dengan inisiatif Environment, Social and Environment (ESG) yang dipraktikkan Primula di mana bertujuan menpergiatkan aktiviti Green Tourism Negeri Terengganu, menggalakkan aktiviti riadah memancing serta merapatkan silaturahim dalam kalangan kakitangan serta komuniti setempat.

Katanya lagi, selain daripada memberikan ruang kepada para kaki pancing untuk menonjolkan bakat masing-masing, ia juga sebahagian daripada inisiatif Primula untuk menonjolkan lagi kawasan pantai sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Terengganu.

Tambah Suaibah, beliau tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan pertandingan seumpama itu pada tahun hadapan.

Juara cabaran memancing PFC 2.0 dimenangi oleh Razali dengan kejayaan menaikkan ikan buntal seberat 4.8 kilogram dan turut membawa pulang wang tunai lumayan bernilai RM20,000.