• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PRN : Bas Percuma Untuk Perantau?

PASIR GUDANG, 11 Jun - Kerajaan negeri berhasrat untuk menyediakan bas percuma kepada anak-anak Terengganu di perantauan bagi memudahkan mereka untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum cadangan yang disuarakan oleh perantau agar mengadakan kembali inisiatif berkenaan.

"Ini merupakan cadangan yang baik untuk kita menyediakan kembali sebagaimana yang kita lakukan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) untuk peringkat parlimen melalui program 'Jom Balik Mengundi' di mana kita telah berjaya menyediakan 400 buah bas.

"Pada kali ini dengan sambutan yang begitu mengalakkan sebelum ini, bagi memenuhi permintaan semua rakyat Terengganu yang berada di perantau ini kita berhasrat untuk Sediakan lebih banyak lagi bas bagi membolehkan perantau pulang menjalankan tanggungjawab mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri program Dialog dan Jamuan Bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu, Di Dewan Serbaguna Taman Nusa Damai, di sini semalam.

Tambah Wan Sukairi, bagi merealisasikan cadangan yang diutarakan oleh perantau itu pihaknya akan segera membawa perkara berkenaan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam waktu yang terdekat.

"Bagi melaksanakan program yang ini, kita tengok nanti bagaimana keputusannya untuk kita muktamadkan nanti bagi membantu perantau yang menyatakan semangat untuk pulang mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti," ujarnya lagi.

 


Tag: