• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

Program Gegar 10,000 Langkah Jadi Amalan Gaya Hidup Sihat



Program Gegar 10,000 Langkah yang dianjurkan setiap tahun mampu menerapkan amalan hidup cergas sekali gus menjadi platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Pegawai Kesihatan Daerah Hulu Terengganu,Doktor Noriah Mahmud berkata aktiviti sukan sebegini juga akan menjadikan tubuh badan menjadi sihat bagi membantu pembangunan negara.
"Saya berharap aktiviti sukan ini akan menjadi amalan hidup kita kerana adalah penting apabila kita berkhidmat untuk kerajaan, kita juga perlu masa untuk rekreasi dan bersukan.
"Dengan kesihatan yang baik, maka mudahlah kita melakukan pelbagai tugasan besar dan mencabar serta meningkatkan produktiviti kerja bagi memajukan institusi serta negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Gegar 10,000 langkahl, hari ini.
Perasmian program disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian Dan Perdagangan Negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang merangkap Ahli Dewan Undangan Kuala Berang.
Sementara itu,Tengku Putera berkata, pada masa akan datang, laluan berjalan kaki di taman-taman dan kampung-kampung dapat dibina untuk kegunaan penduduk Kuala Berang melakukan aktiviti sihat ini.
"Saya harap selepas ini banyak lagi jabatan membuat program ini untuk melahirkan rakyat yang sihat kerana menjaga kesihatan adalah amat penting untuk kita mencari rezeki dan membuat amal ibadah,"katanya.
Pada program yang bermula awal pagi itu, 500 peserta mengambil bahagian menjayakan aktiviti senamrobik, berjalan 10,000 langkah dan menjalani pemeriksaan kesihatan.

Tag: