• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Mampu Capai Matlamat'

Oleh: Marwan AlHakim

KUALA LUMPUR, 18 Mac- Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim optimis Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mampu mencapai matlamat mewujudkan imuniti kelompok apabila fasa kedua dan ketiga program suntikan bermula.

“Berdasarkan, perkembangan program imunisasi ketika ini yang telah mencatat lebih 70 peratus daripada jumlah 571,000 ribu pasukan barisan hadapan di seluruh negara yang akan menerima vaksin di dalam fasa pertama, saya yakin program imunisasi ini akan mencapai matlamatnya.

"Kita berharap semoga imuniti kelompok akan segera dicapai apabila fasa dua dan fasa tiga program imuniti ini bermula.” katanya ketika ditemui selepas selesai lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hopital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), pagi semalam.

Kunjungan Ahmad Amzad telah disambut oleh Pro-Naib Canselor Konsortium Hospital UNI Awam Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor serta Timbalan Pendaftar Hopital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Encik Mursidi Ahamad.

Turut hadir, Mantan Pro-Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal.

Dalam lawatan tersebut, Amzad turut melihat secara langsung bagaimana proses suntikan bermula daripada proses memasukkan vaksin ke dalam jarum suntikan sehingga kepada proses suntikan vaksin ke dalam badan.

Pada program yang berlangsung pagi ini, seramai 408 'frontliner' terdiri daripada kakitangan kesihatan dan keselamatan hadir mendapatkan suntikan vaksin.


 


Tag: