• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Program Ladang Sejahtera Kurangkan Tekanan Golongan Susah

KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Program Ladang Sejahtera #KakDaCakne menerima respon positif selepas berjaya membantu mengurangkan tekanan ekonomi yang dihadapi masyarakat kurang bernasib baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, Kerajaan Negeri akan terus membantu melalui pelbagai insentif bagi mengurangkan bebanan ditanggung rakyat.

Zuraida ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Katanya, program itu merupakan salah satu cara beliau membantu rakyat dengan mengagihkan pek keperluan makanan seperti beras, tepung dan gula yang secara keseluruhannya bernilai lebih RM10,000.

"Selain daripada memberikan bantuan secara 'one-off' (sekali beri), kita juga menggalakkan rakyat untuk terlibat dalam bidang keusahawanan dengan memberi suntikan insentif  daripada agensi kerajaan negeri.

"Agensi kerajaan negeri adalah seperti Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ladang Sejahtera #KakDaCakne di Dewan Serbaguna Bukit Kecil, kelmarin.

Suasana ketika agihan berlangsung.

Ujar Zuraida, program tersebut dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Ladang, melibatkan 105 orang penduduk DUN Ladang yang terpilih.

"Dalam program itu, kita juga bawakan Penghulu Kanan Mukim Bukit Besar untuk memberi taklimat mengenai proses permohonan eKasih dan subsidi air Syarikat Air Terengganu (SATU).

"Di samping turut diberikan taklimat oleh Pegawai Cawangan TNB Terengganu mengenai rebat bulanan bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Turut kita selitkan taklimat mengenai kepentingan mengisi Profail Rakyat Terengganu (PRT20) oleh wakil dari Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) DUN Ladang," tambahnya lagi.

Zuraida turut menyeru agar semua pihak berganding bahu dalam usaha memberi kebajikan kepada rakyat. 

Zuraida menyantuni peserta Ladang Sejahtera.