• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Program 'Outreach' Sasar Warga Luar Bandar Bukit Besi

Oleh: Amiruddin Zamri

DUNGUN, 28 Jun - 'Outreach' Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bukit Besi membekalkan 500 vaksin kepada warga Bukit Besi terutamanya melibatkan Ahli Jawatankuasa Masjid, KETENGAH dan para guru.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, setiap warga kawasannya itu perlu memikul tanggungjawab bersama dalam menjayakan program kebangsaan tersebut demi keselamatan komuniti setempat.

"Sambutan yang diterima dari peringkat luar bandar Hulu Dungun khususnya warga Bukit Besi amat menggalakkan.

"Seramai 75 sukarelawan terdiri daripada warga masyarakat disini ditugaskan bagi melancarkan pergerakan PPV outreach yang julung kalinya diadakan di Dewan Sekolah Menengah Bukit Besi," katanya ketika ditemubual pemberita, semalam.

Sementara itu, beliau juga berterima kasih kepada para petugas Pejabat Daerah Dungun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis, Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sukarelawan yang menjayakan program tersebut.

"Tidak lupa juga kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Besol, JPKK Perumahan dan JPKK Kampung Bukit Besi yang turut sama membantu bagi melancarkan lagi program pemvaksinan di sini.

"Harapan saya agar penduduk di seluruh negeri dapat mengambil peluang atas inisiatif yang diberikan oleh kerajaan bagi memastikan imuniti berkelompok dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar amnya di DUN Bukit Besi," jelasnya.