• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Program Robotik Nilai Tambah Pelajar Imtiaz


KUALA TERENGGANU, 8 Ogos- Robotik merupakan program kebitaraan Imtiaz Yayasan Terengganu dan salah satu ko-kurikulum nilai tambah yang perlu dipelajari dan diikuti semua pelajar Imtiaz.

Pengarahnya, Ishamudin Hashim berkata, dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti yang bersifat holistik Yayasan Terengganu telah mengaturkan program robotik yang dijadikan sebagai salah satu instrument latihan atau alat berfikir bagi membantu pelajar memaksimakan keupayaan otak dan minda, berfikiran kreatif dan inovatif serta berkemampuan mengaplikasikan teknologi tinggi bagi tujuan membina tamadun manusia yang berpaksikan Al-Quran sebagai panduan dan petunjuk.

"Robotik merupakan salah satu elemen kurikulum terpenting dalam STEM, kini dikenali sebagai STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Arts, and Math) yang perlu pelajari dan dikuasai oleh setiap pelajar.

"Bagi meningkatkan dan penguasaan kemahiran robotik di kalangan pelajar Imtiaz, bengkel dan kursus sering dijalankan," ujarnya kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Pejabat Yayasan Terengganu, semalam.

Dalam pada itu katanya, Yayasan Terengganu turut bersetuju dengan Kementerian Pendidikan yang menyeru pihak swasta untuk bersama dengan pusat tahfiz membawa kepelbagaian kemahiran termasuk pembangunan robotik.

"Bagi melahirkan generasi ulul albab bercirikan quranik, ensiklopedik dan ijtihadik di kalangan pelajar Imtiaz, Yayasan Terengganu sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang dapat membantu memperkasakan lagi program robotik dengan lebih jauh tanpa dibebankan dengan kos yang tinggi serta menggunakan pendekatan Imtiaz.

"Walaupun program robotik bukan salah satu mata pelajaran wajib di Imtiaz, tetapi ia merupakan program nilai tambah kepada ko-kurikulum sedia ada," ujarnya.

Katanya, menjadi harapan Yayasan Terengganu agar pelajar Imtiaz dapat meningkatkan lagi kemahiran dan penguasaan robotik yang lebih canggih seperti VEX Robotic dan artificial intelligence robotic dalam menghadapi revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dan revolusi industri 5.0 (IR 5.0).

Tag: