• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Program Tahunan Tilawah Al-Quran Jadi Tumpuan Rakyat Terengganu

KUALA TERENGGANU, 20 Januari – Acara tahunan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat negeri Terengganu 1445/2024M sentiasa menjadi tumpuan rakyat di negeri ini setiap kali dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata acara tersebut merupakan satu usaha berterusan oleh pihak kerajaan ke arah mengangkat martabat kitab Al-Quran yang suci.

Katanya, keupayaan menjayakan program itu memberi impak positif bahawa syiar Islam di Malaysia sentiasa berkembang secara progresif. 

“Al-Quran merupakan perkara yang terpenting buat manusia daripada kecil kita dipaaksa oleh ibu bapa semata-mata untuk melihat anak-anaknya pandai mengaji Al-Quran.

“Walaupun hari ini kita telah berjaya membaca Al-quran, akan tetapi wajib juga ke atas kita mempelajari ilmu-ilmunya agar bacaan kita menjadi betul dan memahami isi kandungannya," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan dan menyampaikan hadiah pada Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Daerah Kuala Terengganu bagi tahun 1445H/2024M di bertempat di Masjid Tok Ku Tuan Besar di sini kelmarin.

Tambah Ahmad Shah, sejak kedatangan Islam di zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah ke hari ini, sejarah merakamkan bahawa penghayatan dan pemahaman ajaran agama telah menjadi paksi kepada umat Islam di Malaysia. 

Jelasnya sehingga kini, Malaysia telah dikenali sebagai negara Islam contoh yang menjadi sumber rujukan kepada negara-negara Islam yang lain. 

“Pengiktirafan yang diberi bukan sahaja dilihat dari sudut pembangunan negara, bahkan juga dari sudut penghayatan Islam secara teras dan dasar di tengah-tengah masyarakat majmuk yang berbilang kaum. 

“Umat Islam kini perlu terus menyemarakkan roh Al-Quran dalam kehidupan seharian sebagai wahyu dan mukjizat terbesar kepada Nabi Muhammad S.A.W, Al-Quran adalah panduan hidup yang lengkap, padat dan tepat,” ujarnya.

Beliau berkata, sebagai umat Islam kita wajib meyakini bahawa Al-Quran adalah perlembagaan dan inti sari makna kehidupan di dunia dan akhirat. 

Di samping katanya, Al-Quran juga merupakan jawapan kepada pelbagai masalah dan persoalan duniawi.

 

 


Tag: