• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Program Uji Cuba Infrastruktur Tangani Kebakaran Tanah Gambut




Oleh : Afiq M.Zaid

BESUT - Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu melaksanakan Program Uji Cuba Infrastruktur Tanah Gambut bagi menyelesaikan masalah kebakaran tanah gambut apabila tiba musim kemarau di Kampung Paya Rawa, Besut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kawasan tersebut akan menghadapi masalah air untuk memadamkan kebakaran tanah gambut apabila tiba musim kemarau.

"Berbeza di tempat Kampung Paya Rawa ni apabila musim kemarau, memang tiada sumber air. Jadi pihak Jabatan Geologi dan Jabatan Alam Sekitar serta Pihak bomba telah bermesyuarat dan telah memilih kawasan ini bagi menyelesaikan masalah itu apabila musim kemarau. banyak berlakunya kebakaran tanah gambut ni yang sukar dipadamkan", ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Uji Cuba Infrastruktur Tanah Gambut bersama Komuniti Kampung Paya Rawa, Besut anjuran Jabatan Alam Sekitar Terengganu, di sini, 9 Oktober.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu, Haji Azemi Haji Eki.

Tambahnya, program ini boleh menampung dan menyelesaikan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada masalah bomba untuk memadamkan api jika berlaku kebakaran ketika musim kemarau.

"Jadi dengan adanya 'check dam' (pengendali dam) dan 'tube well' (sumber air bawah tanah) ini saling lengkap melengkapi untuk menyelesaikan masalah (ketiadaan air) itu dan tadi pun pihak bomba ada buat 'checking', buat ujian dengan sumber air yang keluar tu memang sangat-sangat mencukupi, dengan stok air yang ada di dasar tanah itu disedut keluar, boleh menampung dan menyelesaikan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada masalah bomba untuk memadamkan api di situ." ujarnya lagi.

"Pihak kami diperingkat Dun Kota Putera ini mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Alam Sekitar dan jawatankuasa kerana memilih Kampung Paya Rawa sebagai tempat perlaksanaan projek ini dan sekaligus dapat menyelesaikan masalah tanah gambut terbakar ni dimusim kemarau ni,"katanya.


Tag: