• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Projek Jambatan Marang : Keselamatan Pengguna Jalan Raya, Penduduk Diutamakan

MARANG, 30 Januari – Kerajaan pusat dan negeri akan memberi keutamaan terhadap keselamatan para pengguna jalan raya serta penduduk di sekitar kawasan pelaksanaan projek mega menaiktaraf jalan dan jambatan baharu di daerah itu bernilai RM338.5 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, cabaran utama pastinya akan melibatkan trafik aktif sepanjang Laluan Persekutuan 3 (FT003) yang menghubungkan Kuala Terengganu ke Kuantan, Pahang dan merentasi Sungai Marang.

“Dengan kadar aliran trafik harian mencecah sehingga 31 ribu kenderaan, isu keselamatan para pemandu perlu diuruskan dengan baik.

“Kedua, keutamaan kepada keselamatan penduduk juga perlu diberi perhatian, diharapkan para kontraktor mengambil kira aspek ini dan mengurangkan ketidakselesaan kepada komuniti setempat dan pengguna jalan ini,” katanya lagi dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, kerja penaiktarafan jambatan tersebut yang mengurangkan masa perjalanan sekurang kurangnya 10 hingga 20 minit pada waktu puncak akan mengambil kira keperluan para nelayan dengan pusat pendaratan alternatif.

“Bot-bot nelayan terutamanya dari Zon C (12 hingga 30 batu nautika dari persisiran pantai) dan C2 (melebihi 30 batu nautika dari persisiran pantai) juga akan dapat menggunakan alternatif untuk pendaratan hasil.

“Ini melibatkan lokasi yang menyediakan kemudahan spesifikasi vessel tersebut seperti di Jeti Chendering dengan melalui laluan air di bawah jambatan ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, pelaksanaan projek tersebut akan dipantau dengan teliti oleh pihak berkaitan supaya ia dapat disiapkan dalam tempoh 42 bulan itu.