SETIU, 5 Okt - Penduduk di kawasan Padang Lengkuas kini tidak perlu lagi bimbang dengan ancaman banjir saban tahun selepas projek pembinaan jambatan baharu dan kerja menaikkan aras jalan bernilai lebih RM4 juta disiapkan lebih awal daripada jadual (Ahead of Time - AOT).
Projek kritikal berkenaan membabitkan pembinaan Jambatan Kampung Padang Lengkuas serta kerja naik aras Jalan Padang Lengkuas – Bukit Jeruk di DUN Jabi yang diserahkan secara rasmi kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dibuka untuk kegunaan awam, hari ini.
Turut diserahkan dalam majlis sama ialah satu lagi projek berstatus AOT bagi laluan Jalan Kerteh – Keruak di Kampung Jerubun, Hulu Besut.
Kedua-dua lokasi berkenaan sebelum ini sangat sinonim dengan isu laluan terputus setiap kali musim tengkujuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, penyiapan projek berstatus AOT itu membuktikan komitmen tinggi semua pihak yang terlibat.
"Jika sebelum ini kita kerap mendengar istilah Extension of Time (EOT) atau kelewatan, hari ini saya hadir dalam penyerahan projek berstatus AOT, maknanya siap sebelum jadual.
"Alhamdulillah, Jambatan Kampung Padang Lengkuas di Jabi telah diserahkan kepada JKR dan dibuka rasmi hari ini. Komponen projek ini merangkumi kerja-kerja naik aras jalan yang sebelum ini kerap ditenggelami banjir," katanya di sini, hari ini.

Menurut Dr. Azman, projek persekutuan bernilai lebih RM4 juta bagi kawasan Padang Lengkuas ini memberi manfaat langsung kepada mobiliti dan keselamatan penduduk di Kampung Padang Lengkuas, Kampung Anak Musang, Kampung Bahagia, Kampung Bukit Jeruk, dan Kampung Tasek Nibong.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Kementerian Kewangan (MOF) atas penyaluran peruntukan, JKR Negeri Terengganu serta JKR Besut selaku agensi pelaksana, dan syarikat kontraktor yang mempercepatkan tempoh penyiapan.

"Terima kasih MOF yang menyalurkan bajet, terima kasih JKR terutamanya Jurutera Daerah dan pasukan JKR Besut yang bekerja keras, serta syabas kepada kontraktor yang berjaya menyiapkan projek lebih awal dari jadual," katanya lagi.

Majlis penyerahan rasmi itu turut dihadiri Timbalan Setiausaha Bahagian (1) BDSP Kementerian Kewangan, Rozida Zainol Abidin, Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu, Ir. Dr. Hasli Ibrahim dan Jurutera Daerah JKR Besut, Ts. Mohd Naim Ibrahim.
Turut hadir, Pengarah Urusan Hilirmas Resources Sdn. Bhd., Aneda Yusliza Mohd Yusof, Pengarah R&R Unggul Sdn. Bhd., Mohd Faiz Hazim Asri serta barisan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.