• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PRU14 : Kerajaan BN Tunai Janji Peneroka Felda Tersat


Penantian seramai 172 peneroka Felda Tersat, Ajil yang membuka kawasan itu 30 tahun lalu kini berakhir apabila mendapat geran hak milik tanah untuk diwarisi.

Penyerahan kepada sebahagian peneroka itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak sempena Program Mesra Rakyat Bersama YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Hulu Terengganu di Dewan Komuniti Kuala Berang, hari ini.


Generasi pertama peneroka di tanah rancangan itu, Mamat Mat Ali, 65, berkata hajatnya untuk menerima geran hak milik setelah menunggu hampir 30 tahun akhirnya tercapai.

Jelasnya, segala penat lelah selama ini hilang dengan pengiktirafan yang diberikan dan kini mendapat hak milik tanah untuk diwarisi.

"Alhamdulillah, ia merupakan rezeki bulan Ramadan pada tahun ini. Sudah terlalu lama menunggu saat untuk menerima hak milik setelah bertungkus lumus mengusahakan tanah rancangan sejak ia mula dibuka 30 tahun lalu.

"Lebih manis lagi kerana menerimanya daripada pemimpin nombor satu negara yang sekian lama menjadi idola saya...terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan Barisan Nasional kerana menunaikan janji kepada kami,"katanya.

Bagi Zainun Ngah, 63, orang yang paling gembira dengan hari ini ialah suaminya Setia Majid, 57, yang kini mengalami strok.

"Memang saya seronok sangat kerana dah tunggu lama saat ini untuk dapatkan geran tanah dan sudah pasti yang paling gembira adalah suami saya yang tidak datang pada hari ini untuk menyaksikan saat yang bersejarah dalam hidup kami,"katanya.




Tag: