• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

PRU14: Status OKU Bukan Penghalang Tunai Tanggungjawab

Mohd Fauzi Mansor
Meskipun berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU), seorang penduduk Jati Kampung Baru Seberang Takir, Kuala Nerus tetap bersemangat membuang undi apabila menjadi antara pengundi terawal di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, hari ini.

Mohd Fauzi Mansor, 47, OKU cacat penglihatan hadir ditemani isteri Norashimah Mohammad,45, di pusat berkenaan kira-kira 8.30 pagi.


Menurut Fauzi yang juga Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu berkata, kekurangan dirinya tidak dijadikan alasan untuk tidak keluar mengundi malah dia sanggup keluar awal bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Ini adalah tanggungjawab sebagai seorang warganegara. Walau dalam apa keadaan sekalipun kita wajib tunaikan.

“Kita perlu sesuaikan diri dengan keadaan kita, contohnya sebagai OKU penglihatan ini, kita masih boleh menggunakan kaedah lain terutamanya mengharapkan orang yang kita percayai untuk membantu kita mengundi,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di SMK Kompleks Seberang Takir, hari ini.


Katanya, semua pemilih berdaftar terutamanya yang senasib dengan dirinya diharap keluar mengundi dan memilih calon yang mampu menunaikan janji untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Kepada semua pengundi khususnya OKU cacat penglihatan di seluruh negara keluarlah mengundi kerana ia adalah satu kewajipan kita untuk memilih pemimpin yang bakal menerajui negara dan negeri untuk penggal seterusnya,” ujarnya.


Tag: