• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PSMZA Adakan Majlis Graduasi Secara Maya, Rai 1,294 Graduan

DUNGUN, 28 September- Seramai 1,294 orang graduan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) menerima diploma masing-masing di Majlis Konvokesyen PSMZA Kali Ke-17 yang diadakan secara maya untuk mengelakkan penularan COVID-19. 

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Yaswadi Mat Yasim berkata, perasmian dan penyampaian diploma tersebut disempurnakan secara maya oleh Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts Dr Mohammad Naim Yaakub. 

“Wabak Covid-19 bukan penghalang untuk kita meraikan kejayaan pelajar-pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka dan ini juga menunjukkan keprihatinan kita.

"Majlis graduasi kali ini sedikit berbeza dimana tiada acara penyerahan skrol secara terus kepada pelajar sebaliknya mereka perlu bergambar di 'skrin hijau' seolah-olah sedang menerima skrol daripada TS Dr Mohammad dan gambar tersebut akan 'diedit' seperti dalam majlis graduasi sebenar, " katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Menurut Yaswadi, majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Dagang, PSMZA selama empat hari itu dengan seramai 170 orang graduan akan hadir untuk setiap sesi telah bermula semalam.

"Segala persiapan telah diatur rapi bagi menjayakan majlis konvokesyen kali ini dimana dalam keadaan pergerakan yang terkawal dan perlu mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Terima kasih juga kepada semua 'frontliner' PSMZA yang menjayakan Majlis Konvokesyen Ke-17 ini," ujarnya.


Tag: