• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PSMZA Ringan Beban Orang Kampung

DUNGUN 21 April -  Kakitangan dan pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) telah meringankan beban orang kampung dengan pelbagai bantuan yang dilakukan sempena Program Khidmat Masyarakat. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun melahirkan rasa terharu diatas kesudian mereka memilih tiga kampung iaitu Kampung Teluk Bidara, Balik Bukit dan Seberang Pintasan yang berada dibawah DUN Rantau Abang. 

"Saya sangat berbesar hati diatas kesudian mereka menabur bakti untuk membantu orang - orang kampung yang hidup susah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Khidmat Masyarakat tersebut di Teluk Bidara, baru-baru ini.

Program yang turut disertai oleh Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail itu melibatkan lebih 50 orang kakitangan dan pelajar institusi pengajian teknikal itu  bersama masyarakat dengan mengagihkan sumbangan barangan dapur dan wang tunai kepada 40 orang penerima. 

Di samping bergotong royong membersihkan surau, acara menukar minyak hitam enam buah kereta serta 32 buah motosikal telah melegakan penduduk yang terpilih. 

Sementara itu, Mohd Fikri berkata program   mendapat kerjasama dari Pejabat ADUN Rantau Abang, JPKK ketiga-tiga buah kampung  itu bertujuan untuk mendekati komuniti setempat dengan menyumbang khidmat kepakaran staf Automotive Technology Center (ATeC) dalam bidang automotif. 

"Disamping memperkenalkan lagi Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan PSMZA dengan lebih meluas kepada komuniti setempat," katanya lagi. 

Seorang ibu tunggal yang ditemui, Hartina Muda 43, bersyukur dengan kecaknaan yang sekali gus meringankan beban kehidupannya yang tidak dapat berniaga di bulan Ramadan. 

"Kalau hari biasa saya berniaga pisang goreng kat tepi pantai Teluk Bidara, jadi bila bulan puasa, warung goreng pisang tidak dapat beroperasi, tambah lagi tolong 'servis' kereta, tukar minyak hitam.

"Sejak saya beli kereta hampir dua tahun lepas tidak pernah sekalipun tukar minyak hitam, sayapun tak berani memandu jauh - jauh hanya berulang alik dari rumah ke tempat berniaga je, kalau hantar ke bengkel paling kurang habis jugak dalam RM100," kata ibu tunggal anak tiga itu.


Tag: