• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446


Pulau Kapas di Marang, Terengganu antara destinasi percutian pilihan utama yang terletak hanya kira-kira 18 kilometer dari Bandar Kuala Terengganu dan pulau peranginan paling hampir dengan tanah besar, iaitu berjarak enam kilometer sahaja dari jeti Marang.

Pulau peranginan tercantik dengan pasir memutih bak kapas, perairan yang jernih serta pemandangan dasar laut diliputi hidupan laut yang masih kekal terpelihara, selain para penyelam dapat melihat peninggalan bot-bot karam di dasar laut sekitar pulau serta pemandangan unik dari pulau berhampiran, iaitu Pulau Gemia yang sangat mengagumkan menjadi tarikan utama pulau itu.


Bagi menikmati keindahan alam yang sukar ditemui di destinasi lain itu, pengunjung boleh mengambil pakej `day trip’, iaitu pakej melawat tempat menarik sekitar pulau beserta aktiviti pelancongan tanpa bermalam di situ.

Bagaimanapun, untuk percutian yang lebih menyeronokkan, pengunjung boleh mengambil pakej dua hari satu malam,  `fullboard’ iaitu pakej termasuk kos pengangkutan feri pergi-balik, penginapan satu malam di Pulau Kapas, selain makanan disediakan dan aktiviti snorkelling di tempat menarik.


Lazimnya pakej percutian dari `honeymoon’  sehinggalah pakej bajet untuk pelajar dan `backpackers’ yang ditawarkan resort di pulau berkenaan termasuk penginapan, makanan dan aktiviti snorkelling, serta mencandat sotong yang bermula April hingga Ogos setiap tahun.

Antara resort yang menyediakan pakej istimewa untuk pengunjung seperti Kapas Island Resort, Gem Island Resort & Spa, Kapas Coral Beach Resort, Qimy Private Bay, Kapas Turtle Valley, Kapas Beach Chalet, Pak Ya Seaview Chalet, Captain Long House dan Ombak kapas Island Beach Resort.


  

Tag: