• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pulau Perhentian Terima Bina Pora-Pora Bay Resort

KUALA TERENGGANU, 2 Disember- Pulau Perhentian bakal  menerima projek pembinaan resort berskala besar, Pora-Pora Bay Resort dengan harga bilik anggaran RM4,000 untuk semalam.

Projek membabitkan kos RM500 juta di kawasan seluas 104 ekar itu akan dibina dalam tempoh terdekat dan dijangka mengambil masa antara lapan bulan hingga setahun untuk disiapkan.

Pora-Pora Bay Resort bakal menyediakan 30 bilik bagi fasa pertama dan akan menambah 30 bilik lagi untuk fasa kedua itu turut dilengkapi dengan  pelbagai kemudahan canggih di mana sesuai dengan harga yang ditawarkan iaitu RM4,000 semalam.

Buat masa sekarang syarikat milik resort itu  Pora-Pora Hotels & Resorts sedang menyiapkan stuktur asas binaan di China dan akan menggunakan kaedah pasang siap  bagi  membina resort itu di jangka awal tahun depan.  

Pengerusi Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata kerajaan berharap dengan pembukaan resort itu nanti, lebih ramai pelancong asing berkunjung ke Terengganu.

“Difahamkan syarikat itu sebelum ini sudah mempunyai pelanggan tetap yang pernah menginap di resort sama di pelbagai negara.

“Jadi langkah kerajaan negeri mengalu-alukan syarikat itu membuka Pora-Pora Bay Resort di Pulau Perhentian adalah sangat bertepatan kerana bagaikan laluan mudah menarik minat pelancong luar dan individu yang berkemampuan menginap di resort itu.

“Untungnya bukan sahaja kepada negeri sahaja, malah kepada penduduk Terengganu pastinya mereka yang berduit ini akan ke kawasan menarik lain dan berbelanja di pelbagai tempat,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu dengan Syarikat Pora-Pora Hotels & Resorts di Bilik Perjanjian Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin

 


Tag: