DUNGUN, 15 Mei – Pulau Tenggol terus dikenali sebagai antara destinasi selaman skuba terbaik di Malaysia apabila keindahan terumbu karangnya yang masih terpelihara menarik perhatian penyelam tempatan dan antarabangsa.
Lokasi ini bukan sahaja dianggap sebagai “syurga divers”, malah menjadi pilihan utama penyelam berpengalaman yang ingin menikmati keunikan ekosistem laut yang masih bersih dan terjaga.
Mohammad Johan Arman, 29, seorang penyelam yang mempunyai pengalaman di dalam dan luar negara termasuk Indonesia, menyifatkan Pulau Tenggol sebagai lokasi selaman yang mempunyai air jernih serta struktur terumbu karang yang cantik dan setanding destinasi antarabangsa.
“Kebanyakan kawasan terumbu karang di Pulau Tenggol masih dalam keadaan sihat dan sangat menarik untuk diterokai oleh para penyelam.
“Setiap kali saya menyelam di sini, saya dapat lihat keindahan yang berbeza. Ramai penyelam sebenarnya memasang impian untuk datang ke Pulau Tenggol kerana keunikannya,” katanya kepada pemberita selepas program selaman dan sesi libat urus di Pulau Tenggol baru-baru ini.
Program tersebut turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, yang turut turun menyelam bersama peserta program.

Katanya, lokasi seperti Coral Garden dan Amazing Graze menjadi antara tarikan utama yang sering dikunjungi penyelam kerana keindahan dasar lautnya yang masih terpelihara.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan Pulau Tenggol terus dipelihara sebagai khazanah marin yang bernilai tinggi.
“Dalam masa yang sama, kita mahu industri pelancongan di sini memberi manfaat kepada komuniti setempat secara mampan,” katanya.
Terdahulu, Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Farok Hussin, berkata terdapat 19 lokasi penting terumbu karang di sekitar Pulau Tenggol yang masih cantik dan terpelihara.
“Pulau ini memang sesuai untuk aktiviti selaman. Boleh dikatakan Pulau Tenggol ini seperti ‘Sipadan kedua’ kerana keindahan terumbu karang dan kepelbagaian hidupan lautnya,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menjaga kebersihan serta tidak merosakkan terumbu karang ketika melakukan aktiviti selaman atau snorkeling bagi memastikan khazanah laut itu kekal terpelihara.
Pulau Tenggol terus menjadi tumpuan penyelam dari dalam dan luar negara serta dilihat berpotensi besar untuk terus berkembang sebagai destinasi ekopelancongan marin bertaraf dunia.

Tag :