KUALA NERUS, 5 Mac – Puluhan nelayan tradisional di Terengganu yang sekian lama turun ke laut tanpa lesen akhirnya menerima pengiktirafan sebagai nelayan sah selepas memperoleh lesen sampan khas daripada kerajaan negeri.
Pemberian lesen tersebut memberi kelegaan kepada nelayan yang selama ini menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa pengesahan rasmi, sekali gus membolehkan mereka menjalankan kerja dengan mendapat hak di bawah peraturan yang ditetapkan.
Seorang penerima lesen dari Kampung Seberang Takir, Majmun Marzuki Abdullah, yang berusia lingkungan 60-an berkata, beliau amat bersyukur kerana selepas lebih 40 tahun turun ke laut akhirnya memperoleh lesen nelayan sampan.
Menurutnya, pengalaman menangkap ikan sejak sekian lama tanpa lesen membuatkan beliau sering berasa bimbang ketika berada di laut.
“Pengalaman saya ke laut lebih kurang 40 tahun. Hari ini saya dapat lesen, memang sangat gembira,” jelasnya ketika di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Batin, hari ini.

“Sebelum ini kita turun ke laut tanpa lesen dan rasa takut juga. Sekarang sudah cukup syarat dan lebih senang untuk keluar menangkap ikan,” ujarnya yang mempunyai lima orang anak.
Sementara itu, seorang lagi penerima dari Teluk Pasu, Haziq Hafizi Zakaria, 40, berkata beliau telah menunggu lama untuk mendapatkan lesen sah walaupun telah lebih 20 tahun bekerja sebagai nelayan.
“Dapat lesen ini rasa lega dan senang hati kerana mudah untuk berurusan ke laut. Lama juga menunggu peluang untuk memohon lesen, duk tanya-tanya takde buka dan bila ada peluang ini saya terus minta permohonan” katanya.
Beliau berharap agar kerajaan negeri dapat terus memberi lebih banyak peluang dan kemudahan kepada para nelayan sampan bagi membantu meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu terutama Dato’ Dr Azman Ibrahim keluarkan lesen kepada nelayan sampan Terengganu.
Bagi Ropi Ali dari Mengabang Telipot pula, beliau telah terlibat dalam dunia nelayan sejak lebih 30 tahun lalu apabila mengikuti arwah bapanya ke laut.

“Dulu ayah ada lesen, tapi selepas beliau meninggal saya beli bot fiber dan turun ke laut tanpa lesen.
“Boleh lesen ini Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT. Dah kedua kali saya minta, sebelum ini tak boleh.
“Alhamdulillah, akhirnya dapat lesen. Sekurang-kurangnya ia membantu nelayan seperti kami yang pendapatan tidak menentu terutama ketika musim tengkujuh,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas usaha membantu nelayan tradisional mendapatkan lesen yang membolehkan mereka menjalankan pekerjaan dengan lebih teratur dan sah di sisi undang-undang.
Tag :