• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pupuk Kesedaran Jauhi Dadah Seawal Usia

HULU TERENGGANU, 11 Ogos - Setiap rakyat seharusnya memupuk kesedaran menjauhi dadah seawal usia serta bermula dengan pendidikan di rumah dan juga sekolah rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Hulu Terengganu, Maliaman Kassim berkata, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan lebih banyak program penerangan jauhi dadah.

"Kita merancang untuk mengadakan lebih banyak program penerangan jauhi dadah kerana kita mahu kanak-kanak seawal usia di sekolah rendah mendapat pendedahan terutama berkaitan masalah dadah.

"Kita khuatir anak-anak kita akan terjebak kerana kurangnya pendedahan dan ia pasti akan mempengaruhi prestasi pelajaran mereka.

"Kesibukan ibu bapa bekerja menjadi antara punca pelajar terjebak dengan penagihan dadah.

“Ibu bapa ketika ini sibuk bekerja dan tumpuan sepenuhnya tidak dapat diberikan kepada anak-anak. Apa yang berlaku anak-anak ini cuba mencari tumpuan di luar, selain menggunakan platform media sosial dan terjebak dalam perkara negatif," ulasnya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Integrasi Masyarakat : Gotong-Royong Bersama Dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Terengganu di Kampung Menerong di sini baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, kurangnya perhatian ibu bapa juga mendorong pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti tidak sihat.

"Ibu bapa orang yang paling dekat serta perlu berperanan dalam pembentukan peribadi dan sahsiah anak-anak.

"Kita bimbang jika berlaku kemungkinan di rumah anak-anak kelihatan berbeza dan ibu bapa tidak perasan anak mereka terlibat dengan dadah.

"Maka timbul kerisauan dalam kalangan semua pihak apabila realiti yang berlaku adalah mereka yang terlibat dengan dadah bermula dari peringkat umur yang terlalu muda.

"Justeru kita perlu berusaha mencegah masalah ini dari awal lagi. Besar harapan saya agar ibu bapa meluangkan banyak masa cuti hujung minggu bersama anak yang dahagakan belaian kasih sayang," ujarnya.

Untuk rekod, antara punca penagihan dadah termasuk disebabkan pengaruh rakan sebaya manakala selebihnya akibat keinginan untuk mencuba, tekanan hidup, kurang pengawasan dan disiplin diri tidak kukuh.


Tag: