• 21 Mei 2024 | 13 Zulkaedah 1445

Pupuk Kesedaran Pemuliharaan Hutan Di Kalangan Pelajar



Oleh: Adli Mohamad

KEMAMAN, 24 April- Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan, Dungun dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Binjai Kemaman telah mengadakan Program Kesedaran Hutan Dan Pendidikan Sempena Hari Hutan Antarabangsa 2019 di sekolah tersebut.

Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Mohd Rahim Rani berkata, selain memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan hutan, secara tidak langsung program berkenaan berupaya membantu proses pembelajaran para pelajar.

“Disamping menyedarkan mereka mengenai kepentingan hutan dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pemuliharaan, melalui aktiviti yang diadakan sepanjang program berlangsung juga dapat membantu para pelajar terutamanya yang akan menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk menjawab soalan-soalan berkaitan alam sekitar," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kesedaran Hutan Dan Pendidikan Sempena Hari Hutan Antarabangsa 2019 di Sekolah Kebangsaan Binjai, semalam.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu (BTPNT), Wan Mohd Zuhaidi Wan Hassan, Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin, Pegawai Hutan Daerah Dungun, Shohaimi Mohd Sani.

Hadir sama, Yang Dipertuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Binjai, Saiful Nizam Ashaari serta Guru Besar SK Binjai, Mohd Razali Mat Hussin.

Mohd Rahim berkata, Sambutan Hari Hutan Antarabangsa disambut pada 21 Mac setiap tahun.

"Namun di peringkat sekolah ini kita menyambutnya pada hari ini (23 April) dengan diadakan pelbagai aktiviti antaranya ceramah pendidikan hutan, persembahan pelajar sekolah, pameran dan aktiviti menanam pokok,” ujarnya.

Katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu akan terus menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk mengadakan pelbagai program yang mampu memupuk kesedaran orang ramai terhadap kepentingan hutan.

"Khasnya kerjasama dengan sekolah-sekolah untuk menganjurkan program yang dapat memupuk kesedaran awam di seluruh negeri ini," ujarnya.

Tag: