• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pura Tanjung Sabtu Bangkit Kembali Sebagai Produk Pelancongan Komuniti

KUALA NERUS, 1 Mac - Kerajaan negeri sedang dalam kerja membangun kembali potensi Pura Tanjung Sabtu dan lain-lain lokasi pelancongan di Buluh Gading sebagai tarikan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) yang mampu menjana ekonomi bagi penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin  Deraman berkata, kerajaan negeri bersama sokongan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah mengambil inisiatif melalui peruntukan pembangunan infrastruktur dan kebersihan serta sedang giat melestarikan lokasi seperti di Pura Tanjung Sabtu.

"Alhamdullilah, pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu turut bekerjasama dalam bergotong-royong di sini yang juga kelihatan seperti rumah tradisional antik dan pernah tular di media sosial.

"Konsep CBT ini mesti melalui usaha bersama JPKK, kerana mereka juga pemegang taruh dalam sektor pelancongan dalam komuniti mereka sendiri.   

“Dengan harapan supaya masyarakat di sini terlibat sekali dan mendapat manfaat daripada peningkatan pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke lokasi CBT di Buluh Gading, baru-baru ini.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa mencari potensi baharu bagi menambahkan lagi lokasi menarik sebagai lubuk pelancongan, dan kertas kerja telah dimaklumkan dan akan dibincang di peringkat negeri dari semasa ke semasa.

Turut hadir, ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin.

Sementara itu, Ariffin turut menceritakan lokasi lain seperti tokong Sampohkong Keramat Cheng Ho yang merupakan tempat persinggahan Laksamana Cheng Ho dan Kampung Tanjung Bunut.

“Seperti difahamkan Laksamana Cheng Ho merupakan seorang tokoh pelaut tersohor yang dipercayai juga seorang muslim pada abad ke-15, lokasi ini dengan nilai sejarah tersebut mampu menjadi tarikan kepada pelancong terutamanya warga Cina.

“Produk pelancongn lain seperti ‘river trail’ atau bot menyusuri dua sungai iaitu ke Kuala Berang ke Kuala Terengganu dan Sungai Nerus juga akan diperkembangkan supaya ia menyusuri lokasi-lokasi sedemikian dalam satu pakej,” tambahnya.

Menurut ADUN kawasan tersebut, Ridzuan Hashim, beliau memaklumkan antara kerjasama terlibat bersama tiga JPKK iaitu JPKK Tanjung Sabtu, JPKK Tanjung Bunut dan JPKK Teluk Pasu.

“Secara tidak langsung, masyarakat setempat juga boleh meraih peluang ekonomi ini dalam menjana pendapatan di dengan komuniti sendiri,” katanya.