• 24 Nov 2020 | 8 Rabiul Akhir 1442

Pusat Aduan Sosial Mudahkan Penduduk


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 2 Julai -  Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi mewujudkan pelbagai cara dan insiatif untuk mendekati masyarakat termasuk memperkenalkan Pusat Aduan Sosial (PAS).

Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman, berkata pihaknya sentiasa memikirkan alternatif terbaik bagi memastikan penduduk Bukit Besi mampu mendapat maklumat serta mengetahui pelbagai saluran bantuan disediakan kerajaan negeri.

“Menyedari perkara berkenaan maka kita tidak hanya menunggu kehadiran penduduk ke pejabat semata-mata, malah turut turun ke lapangan bagi memastikan rakyat tahu tentang insiatif disediakan kerajaan termasuk bantuan didalam bidang perniagaan, pertanian, bantuan kepada ibu tunggal, juga mereka yang menghidap penyakit kronik, miskin tegar dan lain-lain.

“Kita sedar ada diantara mereka yang menghadapi kesulitan didalam hidup, namun kerana faktor tertentu serta berada jauh di pedalaman menyebabkan mereka tidak mampu datang ke pusat khidmat ini. Justeru kita telah mewujudkan PAS dimana kita telah turun ke semua 23 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perjumpaan dengan beberapa MPKK di Balairaya Jongok Batu, semalam.

Katanya, program berkenaan telah diadakan bermula minggu lalu pada setiap Isnin dan Rabu, dijangka akan selesai diadakan di semua cawangan MPKK dalam masa tiga minggu.

“Ianya merupakan alternatif dan kesinambungan daripada Hari Khidmat Pelanggan yang diadakan pada setiap selasa, bagi mengetahui secara menyeluruh segala masalah dan apa yang rakyat disini perlukan,” ujarnya.

Jelasnya, program berkenaan telah digerakkan secara bersama dengan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) bersama dengan MPKK setempat.

"Walau bagaimanapun kita akan sentiasa memikirkan cara dan kaedah lain lagi bagi memastikan seluruh penduduk Bukit Besi mendapat manfaat.

Menerusi PAS, pelbagai borang bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM), borang bantuan Tabung Darul Iman (TDI), Yayasan Pembagunan Usahawan (YPU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pertanian dan sebagainya yang berkaitan diedarkan kepada rakyat.


Tag: