• 16 Mei 2024 | 8 Zulkaedah 1445

Pusat Khidmat Kuala Nerus Bantu Nenek OKU, Mangsa Rumah Runtuh

kakitangan PKAPKN meninjau keadaan rumah yang runtuh.


Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 25 April - Seorang warga emas, Teh Embong, yang terselamat dalam runtuhan sebahagian rumahnya dikunjungi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN) di Kampung (Kg) Teluk Pasu, di sini, baru-baru ini.

Kunjungan tersebut merupakan tindakan susulan selepas diminta Ahli Parlimen, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali setelah tragedi yang menimpa Teh dan keluarganya, hujung minggu lalu.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg Teluk Pasu, Mohamad Omar yang turut meninjau kawasan terbabit.
 
Pegawai Khas ahli parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Shafi'i bertanya khabar Annuar dan keluarga.
Dalam pertemuan santai itu, PKAPKN turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai agar dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka sekeluarga.

Mengimbau kejadian itu, anaknya, Annuar Teh, 45, menyatakan kesyukuran kerana ibu dan seluruh ahli keluarganya selamat.

“Pada hari berkenaan, sebahagian rumah yang kami diami runtuh iaitu bahagian dapur dan bilik air.

“Ibu saya merupakan orang kelainan upaya dan tidak mampu menguruskan diri. Alhamdulillah, ketika itu dia, isteri dan anak-anak saya berada di ruang tamu,” kata anggota Bomba dan Penyelamat (Bomba) yang bertugas di Balai Bomba Kuala Terengganu itu.

Kejadian berlaku pada jam 6 petang menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM15,000.

Sebahagian rumah Teh 'hilang' menjadi timbunan batu.




Tag: