• 25 Jul 2024 | 18 Muharam 1446

Pusat Maklumat Pelancongan Terengganu Dalam Proses Pemulihan

MARANG, 30 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu telah mengumumkan langkah-langkah proaktif untuk memulihkan Pusat Maklumat Pelancongan (TIC) di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kebanyakan pusat maklumat pelancongan di Terengganu mengalami kemerosotan operasi disebabkan pandemik COVID-19.

Katanya, semasa pandemik, banyak staf diberhentikan dan kontrak mereka tidak disambung, termasuk staf daripada Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, (MOTAC) dan agensi lain.

“Akibatnya, beberapa pusat maklumat pelancongan tergendala dan tidak dapat beroperasi dengan efektif.

“Jadi sekarang, kita nak pulihkan balik dan kita sedang bincang dengan majlis, pegawai daerah untuk kita ambil satu hingga dua hari untuk gotong-royong sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Lawatan Kerja Exco Pelancongan ke Pulau Terengganu bertempat di Pulau Kapas di sini baru-baru ini.

Tambah Razali, pemulihan tersebut akan diketuai oleh pegawai daripada Pelancongan Negeri Terengganu.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat, kerja-kerja baik pulih akan dilaksanakan dan pusat-pusat maklumat pelancongan ini akan kembali beroperasi sepenuhnya untuk memberi khidmat kepada pelancong.

“Sebab rumah, pejabat, kawasan itu dah ada dan kita akan buat satu atau dua hari gotong-royong,” katanya.

Razali turut menekankan pentingnya Community Based Tourism (CBT) di setiap daerah dalam mengenal pasti dan mengetengahkan tarikan baru di Terengganu.

“CBT adalah satu pelaksanaan yang terbaik setakat ini bagi pihak kerajaan dan perlu melibatkan komuniti yang mempunyai semangat dan kefahaman yang mendalam tentang subjek ini.

“Dengan langkah-langkah pemulihan ini, kerajaan berharap dapat menghidupkan semula industri pelancongan di Terengganu dan memastikan pusat maklumat pelancongan di seluruh negeri beroperasi dengan baik.

“Seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi tempatan dan pengalaman pelancong yang lebih baik,” ujarnya.


Tag: